Apakah hutang? Hutang dalam bahasa Arab di sebut Qardh iaitu bermaksud potong. Hutang dari segi istilah bermaksud memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat apabila sampai tempoh orang tersebut akan memulangkan semula barangan yang diambil atau memberi barang yang mempunyai persamaan kepada yang memberi pinjaman tadi. Hutang sememangnya seperti pedang mata dua. Sekiranya bijak menggunakannya, anda dapat menaikkan keuntungan dan mendapat faedah kewangan jangka panjang. Jika salah guna, anda bukan hanya tercedera bahkan boleh membawa maut! Jadi, sebelum “pedang dihayun”, pastikan anda menguasai pergerakan serta mampu memikul akibat dari hayunan itu.
Setiap usahawan itu akan terdedah kepada hutang sepanjang proses perniagaan mereka. Jika berniat berhutang kerana hendak memulakan perniagaan, apa yang dapat diminimumkan ialah faedah yang dikenakan ke atas pendapatan perniagaan, lantas memberikan usahawan itu tadi pengecualian cukai pendapatan daripada pihak kerajaan. Selain itu usahawan juga berhutang dengan pihak bank untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Dalam kes ini, hutang dijadikan sebagai medium untuk menghasilkan lebih kekayaan dan sekali gus usahawan tadi mempunyai modal yang mencukupi untuk membesarkan lagi perniagaan mereka. Harus diingatkan pinjaman boleh menjadi produktif, sebagai aktiviti yang akan menjana kekayaan, atau ia akan juga boleh menjadi beban kepada peminjam.
Lumrahnya kita dididik jangan berhutang. Hutang selalunya dikaitkan dengan perkara-perkara negatif, tidak berfaedah dan tidak produktif yang akan membebani si peminjam. Ini adalah tidak benar kerana hutang boleh digunakan secara produktif oleh setiap individu, peniaga mahu pun badan-badan kebajikan. Pertama sekali, kita perlu mengenal pasti 2 kategori utama hutang iaitu:
HUTANG YANG MEMBERI HASIL
- Jika meminjam wang untuk membentuk satu aliran pendapatan yang boleh menyumbang kepada pembayaran balik hutang. Contohnya, peminjam melakukan pinjaman untuk membeli bangunan yang kemudiannya disewakan. Setiap bulan wang daripada hasil sewaan akan disimpan, sehinggalah bayaran pinjaman pembelian bangunan diselesaikan. Keuntungan selepas itu akan menjadi total profit kepada peminjam tadi.
- Jika meminjam wang untuk membeli rumah, dan bercadang tinggal di rumah tersebut, sekurang-kurangnya peminjam akan dapat mencapai pulangan-modal sepanjang masa melalui peningkatan nilai rumah. Ia juga akan menyelamatkan peminjam dari membayar sewa sekiranya tidak membeli rumah.
HUTANG YANG TIDAK MEMBERI HASIL
- Jika meminjam wang untuk membuat pelaburan ke atas sesuatu saham berdasarkan spekulasi melalui perbualan atau khabar angin, secara terang ini adalah hutang yang tidak memberi hasil dan berbahaya. Biasanya si peminjam akan kehilangan wang dan masih berhutang.
- Meminjam wang untuk mendapatkan pengalaman atau benda-benda yang tidak mampu bayar, dan hutang tersebut mempunyai caj faedah tinggi. Seperti meminjam untuk membeli kereta mewah yang akhirnya terpaksa ditarik semula kesan daripada gagal untuk melunaskan bayaran installment bulanan.
Sesungguhnya hutang adalah sesuatu yang tidak digalakkan, sekiranya usahawan berhutang semata-mata untuk memulakan perniagaan. Ia amat berisiko tinggi, melainkan perniagaan telah kukuh dan mendapat pulangan tunai daripada perniagaan. Sekiranya masih perlu untuk membuat pinjaman bank, adalah dinasihatkan pinjaman yang dipohon itu tadi tidak melebih 40% daripada jumlah modal yang diperlukan untuk memulakan sesuatu perniagaan.
Hutang Dalam Perniagaan
Dalam perniagaan pula, adalah menjadi satu perkara biasa untuk melakukan transaksi hutang. Kadangkala kita berhutang dengan pembekal atau pelanggan pula berhutang dengan kita. Sekiranya perlu untuk berhutang, pastikan ada perjanjian bertulis yang mana kandungan tertera nilai hutang, tempoh berhutang dan saksi.Komitmen perlu ada untuk memastikan yang hutang itu dibayar dan bukan bertambah. Jika hutang meningkat, ia boleh menimbulkan masalah terhadap perniagaan, si pemiutang dan melibatkan semua pihak.
Menurut buku Rahsia Bisnes Orang Cina karya Ann Wan Seng, amalan perniagaan kaum Cina memerlukan mereka menjelaskan segala hutangnya tiga hari sebelum menjelang tahun baru. Mereka percaya hutang yang tidak dijelaskan adalah satu petanda yang tidak baik.
Dalam Islam hutang adalah dihalalkan sebagai satu jalan keluar bagi golongan yang mengalami kesempitan wang untuk perbelanjaan harian atau keperluan lain yang diharuskan oleh Islam. Ia kerana satu cara orang kaya membantu yang miskin, selain amalan zakat dan sedekah yang digalakkan. Hutang yang tidak dijelaskan akan membuatkan amalan seseorang akan tergantung di hari akhirat kelak. Islam juga menasihatkan orang yang berhutang diberi peluang menangguh penjelasan hutang sekiranya tidak mampu.
Kebiasaannya, sumber pinjaman datang daripada saudara mara dan kawan. Jika jumlahnya banyak, kita akan memohon kepada institusi kewangan. Malah, fungsi utama institusi kewangan bukan untuk menyimpan, tetapi tempat meminjam. Hasil caj perkhidmatan berkaitan pinjaman adalah cara pihak bank mengaut keuntungan. Berhutang sememangnya perlu jika keadaan memaksa dan anda mempunyai keyakinan untuk membayar. Lebih-lebih jika pinjaman dibuat untuk memulakan atau membesarkan perniagaan, keperluan pendidikan, membeli harta seperti rumah, tanah, bangunan dan sebagainya. Namun, jika berhutang hanya disebabkan ingin hidup mewah dan berbelanja secara melampau tanpa alasan penting, maka sikap itu perlu ditamatkan segera. Membazir tidak dibenarkan dalam Islam, apatah lagi wang itu dari sumber hutang yang sepatutnya digunakan untuk tujuan lebih penting. Banyak keburukan jika berhutang disebabkan tujuan itu. Kini, kad kredit didapati punca banyak individu menghadapi tindakan undang-undang daripada pemiutang. Jika tidak dapat menjelaskan hutang, maka proses bankrap dikenakan. Ia satu tindakan tegas pemiutang mengikut lunas undang-undang.
Sering kali mereka yang berstatus bankrap dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu. Namun, tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran malah bertambah ramai individu yang galak berhutang. Menanggung beban hutang yang berat mendorong penghutang melakukan kesalahan lain seperti menerima rasuah, menipu dan sebagainya. Ini terpaksa dilakukan agar dapat menjelaskan hutang dan tidak dikenakan tindakan undang-undang. Malah, ada yang membunuh diri disebabkan gagal membayar hutang dan keadaan kewangan yang mengganggu kewarasan fikiran. Untuk mengelak masalah tersebut, adalah lebih baik sejak awal tidak berhutang. Jika perlu sangat berhutang, biarlah sekadarnya saja dan untuk tujuan kebaikan. Jika ada kehendak yang boleh ditangguh, elok ia ditangguhkan sehingga mempunyai sumber kewangan sendiri. Itu adalah sebaik-baik usaha untuk mengelak daripada masalah beban hutang.
Menyedari besarnya tanggungjawab yang dipikul apabila berhutang, Rasulullah S.A.W. selalu meminta perlindungan kepada Allah daripada perbuatan itu seperti doa Baginda: “Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada dilanda hutang dan kekuasaan orang lain.” – (Hadis riwayat Bukhari). Adalah lazim penghutang berdusta dan mungkir janji dalam membayar hutang apabila menghadapi masalah menjelaskannya. Semasa hendak berhutang, pelbagai janji diucapkan. Rayuan dan sumpah digunakan agar permintaan itu ditunaikan. Tetapi apabila tiba masa membayarnya, pelbagai helah dan alasan dibuat.
Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan, ada kalanya nak tak nak, anda akan terlibat dengan masalah hutang juga sama ada secara sedar atau tidak. Tanda-tanda anda terjebak adalah seperti berikut:
- Meminjam lagi untuk membayar hutang dahulu
- Pemiutang sering menekan anda untuk mendapatkan bayaran
- Bayaran kad kredit dibuat secara minima
- Penggunaan kad kredit digunakan secara maksimum
- Terpaksa berhutang untuk membayar bil-bil biasa
- Anda tidak mendapat kepercayaan untuk diberi pinjaman
- Semua saudara dan kenalan menjauhkan diri
- Dan paling dahsyat , simbahan cat merah di dinding rumah!
Jangan risau, sekiranya anda salah seorang yang di atas, maka anda belum terlambat dan tidak bersendirian. Tunjuk ajar dari agensi kaunseling kredit boleh membantu bagi menyediakan pelan penyelesaian antara anda dan pemiutang bagi meringankan masalah hutang anda. Namun anda perlu ada kesungguhan dan berdisplin untuk bertukar bagi membolehkan anda hidup lebih aman.
Syarat Berhutang
Salah satu syarat berhutang ialah mempunyai niat untuk menjelaskannya apabila berkemampuan atau cukup tempoh dijanjikan. Perkara ini ditekankan dalam ajaran Islam agar setiap penghutang mesti mempunyai niat ingin menjelaskannya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa berhutang wang daripada orang lain dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya. Akan tetapi barang siapa yang mengambil hutang dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayarnya), maka Allah akan merosakkannya.” – (Hadis riwayt Bukhari).
Proses membayar hutang juga perlu dilakukan secepat mungkin apabila berkemampuan. Orang yang berhutang perlu bersikap jujur membayar segera biarpun belum sampai tempohnya. Itu adalah sebaik-baik cara untuk mengelak wang itu digunakan untuk tujuan lain, lantas menyebabkan tidak mampu menjelaskan hutang apabila tiba masanya. Sikap bertangguh dalam melakukan kebaikan ditegah dalam Islam. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa membayarnya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.”
Janji hutang yang dibuat secara bertulis bukan saja untuk diingati tetapi sebagai bukti bagi pihak lain jika salah seorang daripada penghutang maupun pemiutang meninggal, maka soal hutang itu diselesaikan oleh warisnya. Dosa tidak membayar hutang dengan sengaja amat besar. Allah tidak akan mengampun dosa kesalahan berkaitan hutang, selagi hutang itu tidak dijelaskan atau pemberi hutang merelakannya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni melainkan hutangnya.” – (Hadis riwayat Muslim). Roh penghutang yang sengaja tidak mahu membayar hutangnya, sedangkan dia mampu menjelaskannya, akan tergantung di antara langit dan bumi, selagi hutang itu tidak dijelaskan oleh warisnya atau dihalalkan oleh pemiutang.
Maka wajib bagi waris menjelaskan hutang si mati menggunakan harta peninggalannya. Haram bagi waris mendapatkan harta peninggalan si mati yang masih mempunyai hutang. Hutang itu dijelaskan dan baki daripada itu baru boleh diagih-agihkan kepada waris. Pun, bagi pemiutang yang ingin menghalalkan hutang si mati atau yang hidup sekalipun, dengan kerana sesuatu sebab difikirkan perlu, maka sikap itu adalah lebih baik baginya. Tegasnya, biarpun berhutang itu harus, ia tidak digalakkan. Berhutang harus jika ia satu keperluan yang membawa kebaikan. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Allah tidak suka hamba-Nya yang berlebih-lebihan dalam soal makan dan perbelanjaan.
Masih mahu berhutang?
USAHAWAN.COM
USAHAWAN.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan