Saban hari kita terdedah dengan pelbagai cerita dan mitos perihal Multi Level Marketing (MLM). Mitos-mitos ini dianggap sebagai suatu kebenaran terutama oleh mereka yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam perniagaan MLM. Sering kali tindakan dan keputusan pelaburan oleh mereka yang baru mahu bergiat dalam skim MLM dilakukan hanya bersandarkan kepada mitos-mitos ini. Namun bagi mereka yang pernah bergelumang dengan skim MLM dan mendapat kenangan pahit di sebalik pelaburan yang dibuat, mitos ini bukan fakta tetapi auta semata-mata.
Mitos 1: MLM bukan skim piramid tetapi merupakan bisnes paling genuine di dunia.
Fakta: Memang benar, kebanyakan MLM bukan skim piramid, namun ia mengambil konsep dan model bisnes skim piramid. Skim piramid memerlukan pelaburan wang semata-mata, manakala MLM bersembunyi di sebalik slogan dan penjualan produk syarikat. Sebuah syarikat MLM yang bertopengkan penjualan produk kopi menggunakan slogan “It’s COFFEE, It’s CURE”, hakikatnya bisnes utama mereka hanyalah ingin mengumpul pelabur pada organisasi piramid syarikat itu. Sudah tentu, keuntungan berlipat kali ganda hanya akan diperoleh oleh pelabur yang berada di puncak organisasi piramid itu dan bagi mereka yang di bawah piramid pula, haruslah berusaha berlipat kali ganda untuk menjual produk dan mencari down line bagi menambah pendapatan.
Mitos 2: Semua produk senang jual, semua orang dambakan produk MLM. Minum kopi boleh pulih dari sakit.
Fakta: Penjualan produk MLM adalah sangat sukar untuk dilakukan. Kebanyakan syarikat MLM ini tidak berlesen dan tidak akan menggunakan media terbuka untuk melakukan pemasaran produk. Hal ini tentu menyebabkan kesukaran untuk para pelabur melakukan penjualan produk. Selain itu, harga yang ditawarkan juga tidak masuk dek akal. Contohnya, sekotak kopi syarikat MLM yang dikatakan mempunyai ramuan yang dapat menyihatkan penggunanya dijual dengan harga RM200 sekotak, sedangkan produk Nescafe di pasaran harganya kurang daripada RM10! Ada juga syarikat MLM yang menjual produk yang sebenarnya tidak bernilai sesen pun. Tetapi dengan kehandalan si usahawan tadi, menceritakan kehebatan produk yang dikatakan disuntik dengan batu gunung berapi atau diambil daripada ekstrak tumbuhan yang hanya terdapat di negara-negara tertentu, sudah pasti ada pembeli yang akan terpedaya dengan kata-kata si usahawan MLM tadi.
Mitos 3: Dengan menjalankan aktiviti perniagaan MLM secara part time atau 2-3 jam sehari, anda boleh menjadi kaya raya. MLM adalah cara baru untuk hidup mewah!
Fakta: Memang benar, perniagaan MLM menawarkan fleksibiliti dan cara kerja yang bebas. Ia tidak terbatas dengan waktu kerja 9 pagi – 5 petang. Namun begitu ramai yang tidak tahu bahawa perniagaan MLM memerlukan komitmen waktu yang luar biasa, komitmen untuk belajar dan diajar. Dalam perniagaan MLM, setiap manusia yang ada di sekeliling kita adalah prospek pelanggan dan setiap waktu adalah waktu untuk melakukan pemasaran. Tanpa jualan anda tidak akan mendapat pulangan yang ditetapkan.
Kemewahan juga adalah motivasi jelas untuk semua yang terlibat dalam MLM. Semua leader dalam MLM dikehendaki menunjukkan kemewahan mereka dengan memakai kereta mewah, beg tangan dan pakaian yang berjenama untuk menarik lebih banyak pelabur. Ironinya, ramai tahu bahawa kemewahan yang dimiliki oleh usahawan MLM ini hanyalah pinjaman semata-mata untuk memancing pelabur menyertai team bisnes MLM mereka. Bagi usahawan MLM yang tidak dapat bertahan lama, ada yang terpaksa ditarik balik kereta mereka gara-gara tidak dapat lagi melunaskan bayaran installment!
USAHAWAN.COM
USAHAWAN.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan