Pertanian
adalah merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi
sumber makanan, kewangan dan ekonomi. Slogan ‘pertanian adalah
perniagaan’ sememangnya ada kebenaran. Situasi yang membolehkan aktiviti
pertanian itu menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran
hasil pertanian pekebun atau peniaga ini tadi bukan sahaja telah
melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi
keuntungan kepada pengusahanya tadi.
‘Pertanian
adalah perniagaan’ juga merupakan visi yang sangat popular. Ia
bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara
perindustrian kepada sebuah negara pertanian. Dengan melakukan
aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian, seseorang itu mampu menjana
pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan diri
sahaja. Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu diubah.
Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada
tanah. Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur dan bukan
hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya.
Tumpuan
kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke
belakang. Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk
meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu
menambah hasil pendapatan negara. Dalam memajukan sektor pertanian,
kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan
keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, kita telah
berjaya menghasilkan pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan
bantuan teknologi ICT yang terkini.
Kepentingan Pertanian Kepada Negara
Pada
peringkat awalnya, pertanian di negara kita hanya berfungsi untuk
memenuhi keperluan asas rakyat tempatan. Kini, fungsi pertanian ternyata
telah berubah. Pertanian dilihat sebagai perniagaan yang memberi
prospek besar kepada seluruh masyarakat Malaysia, membantu merapatkan
jurang sosial ekonomi dalam masyarakat dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pada tahun 2010, nilai pengeluaran kasar daripada Banci Ekonomi 2011
untuk sektor pertanian adalah sebanyak RM53,452.1 juta. Penyumbang utama
pengeluaran dalam sektor pertanian adalah subsektor tanaman dengan
RM37,275.6 juta, diikuti perhutanan & pembalakan (RM8,111.0 juta),
ternakan (RM6,591.5 juta) dan akhir sekali perikanan (RM1,474.1 juta).
Bidang pertanian dilihat dapat mengurang kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan
dari negara lain. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, kopi,
koko dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini. Jika keperluan
dalaman rakyat Malaysia adalah mencukupi, maka kita tidak perlu
mengimport bahan makanan ini daripada negara luar.
Pertanian juga dilihat sebagai salah satu cara untuk menggalakkan pengaliran wang masuk melalui pengeksportan hasil pertanian ini ke negara-negara luar. Selain itu juga, bidang pertanian juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Mengikut
bancian yang dibuat, jumlah tenaga pekerja di sektor pertanian pada
2010 adalah dianggarkan seramai 390,708 orang. Kategori pekerja bergaji
adalah seramai 384,769 (98.5%) dan hanya 5,939 orang (1.5%) adalah
pemilik yang bekerja, rakan niaga yang aktif dan pekerja keluarga tidak
bergaji. Daripada jumlah tenaga pekerja itu, 318,583 (81.5%) adalah
pekerja lelaki dan selebihnya (18.5%) adalah pekerja wanita.
Pertanian juga turut memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha
yang melakukannya. Sekiranya pengusaha menitik beratkan aspek kuantiti
dan kualiti, maka harga pasaran hasil yang akan dijual sudah tentu akan
meningkat. Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan,
proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan
dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan.
Dengan menceburi bidang pertanian, secara tidak langsung kita akan dapat membantu negara memenuhi keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan
daripada berlaku. Dengan bilangan penduduk Malaysia yang dianggarkan
seramai 28.6 juta penduduk pada tahun 2010 dan dijangka meningkat
sehingga 30.5 juta penduduk menjelang tahun 2020, tentunya keperluan
makanan akan semakin meningkat. Masalah pertambahan jumlah penduduk
dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara
alasan yang sering dijadikan sebab mengapa terjadinya krisis kekurangan
makanan di dunia. Keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu
ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kekurangan
sumber-sumber adalah amat membimbangkan. Selain daripada isu pertambahan
penduduk, faktor lain yang membawa kepada masalah kekurangan makanan
adalah berpunca daripada kejadian bencana alam yang berterusan. Apabila
terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ada
yang terpaksa menukar tanah-tanah pertanian menjadi kawasan penempatan
penduduk. Akibatnya keluasan tanah-tanah pertanian menjadi semakin
kecil. Perubahan cuaca yang ekstrem di sesetengah negara juga boleh
menjadi sebab keperluan bahan makanan semakin berkurangan. Hal ini
pernah berlaku di Rusia pada tahun 2010, yang telah menyebabkan kerajaan
Rusia mengambil langkah drastik menghentikan eksport hasil pertanian
gandum dan barli mereka. Krisis makanan juga pernah berlaku di Malaysia
pada bulan Mac dan April tahun 2008. Krisis ini terjadi apabila
kekurangan beras dan kenaikan harga minyak mentah global. Ternyata, ia
telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat apabila inflasi
berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan mendadak.
Pertanian juga dapat dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan
diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan
Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari
aspek promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat
kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai
aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan
kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam
agropelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang
ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya. Felda Residence Tekam
yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR),
Jerantut, Pahang adalah antara contoh pusat peranginan agro-pelancongan
yang berbaloi untuk dikunjungi. Selain menjadi pusat pelancongan berasas
pertanian, resort juga turut menyediakan lawatan ke ladang buah-buahan
seperti nangka, durian, rambutan, manggis, langsat, duku dan jambu
mawar. Tetamu juga diajar tentang teknik pertanian moden yang digunakan
di kawasan itu.
Strategi Kerajaan Mempromosikan Bidang Pertanian
Bagi
memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap
pertanian, kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan
bagi mendorong mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program
pertanian yang bernafas baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan
produktiviti serta pendapatan petani di Malaysia telah diperkenalkan.
Sejumlah
wang telah diperuntukkan kepada sektor pertanian menerusi Bajet 2013
yang dibentangkan baru-baru ini. Sejajar dengan ikrar kerajaan, sebanyak
RM5.8 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani. Kerajaan Malaysia juga telah menyediakan sebanyak
RM30 juta bagi pembangunan program pertanian merangkumi
aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan
sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga
melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta
penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga telah
mempersiapkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk
makanan dan kesihatan. Bagi membantu para petani mengurangkan kos
pengeluaran pula, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian
sedia ada berjumlah RM2.4 bilion. Bantuan ini termasuk subsidi dan
insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi
sebanyak RM480 juta, Pemberian Subsidi Baja Padi sebanyak RM465 juta,
Insentif Peningkatan Hasil Padi sebanyak RM80 juta, Insentif Pengeluaran
Padi sebanyak RM563 juta, Subsidi Harga Beras bernilai RM528 juta dan
Subsidi Benih Padi Sah sebanyak RM85 juta. Dengan adanya subsidi ini,
kerajaan berharap agar ia dapat meringankan beban pengusaha ladang.
Di
samping itu, kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan pekebun kecil
agar dapat mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan ladang
secara moden, penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta
menggiatkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau juga dikenali sebagai Good Agricultural Practices (GAP). APB merupakan satu pendekatan dalam sistem pengembangan pertanian Jabatan Pertanian Malaysia bertujuan
untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat
dimakan. APB merangkumi pengurusan ladang yang lebih mesra kepada alam
sekitar. APB juga bertindak memastikan amalan-amalan yang dilaksanakan
oleh pengusaha ladang semasa proses pengeluaran dan pengendalian hasil
bagi ladang adalah berkualiti, produk yang dikeluarkan selamat dimakan
dan tidak menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan juga pekerja
ladang.
Kabinet Malaysia juga telah meluluskan Dasar Agro Makanan Negara (DAN) pada 28 September 2011,
yang akan dijalankan selama 10 tahun (2011-2020). DAN dibentuk untuk
menggantikan Dasar Pertanian Negara. Antara bidang keutamaan DAN adalah
untuk mengembangkan industri ternakan, memodenkan industri perikanan,
mengukuhkan industri padi dan beras, mempromosi agro pelancongan,
meningkatkan industri asas tani, memacu pertumbuhan industri bernilai
tinggi dan memperkukuhkan industri sayuran, buah-buahan dan kelapa.
Beberapa pameran pertanian seperti Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA)
anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan dua tahun
sekali bertujuan untuk mempromosi produk-produk pertanian yang
diusahakan di Malaysia kepada masyarakat. MAHA juga memaparkan kejayaan
sektor pertanian dan industri asas tani serta ternakan dari dalam dan
luar negara daripada aspek teknologi dan inovasi. MAHA juga dijadikan
platform untuk mendedahkan belia kepada bidang pertanian di samping
memperkenalkan Malaysia sebagai hab pertanian dan industri asas tani
untuk pelabur asing dan persendirian.
Selain itu, beberapa buah Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC
seperti yang terdapat di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan juga
telah dibuka. Ini merupakan kaedah pemasaran moden di mana RTC ini
bertindak sebagai sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi
pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian
tempatan. RTC jug memainkan peranan sebagai pusat yang menghubungkan
pengeluar dengan pengguna.
Kesimpulan
Di
negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara maju
lain, golongan petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong dalam
golongan mereka yang kaya raya. Situasi ini mungkin boleh berlaku di
negara kita. Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas
daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan
sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan,
bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada.
Melalui
strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu
masyarakat tani di Malaysia, ‘Pertanian adalah perniagaan’ sudah pasti
akan dapat dilaksanakan sekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk
memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah
satu sumber pendapatan kita. Marilah mula berbudi kepada tanah!
USAHAWAN.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan