Plagiat atau Plagiarisme internet adalah penciplakan ataupenggunaan semula karyayangdidapati melaluilaman internet, menjadikan idea orang lain sebagai hak sendiri tanpa sebarang kredit diberikan kepada penulis asal dan karya asal. Kata ‘Plagiat’ itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Inggeris ‘Plagiarism’ yang terhasil daripada perkataan Latin, ‘Plagiarius’, dan perkataan Greek ‘Plagion’. Kata ‘Plagion’ ini membawa maksud menculik atau mencuri sesuatu atau seseorang. Kamus Dewan pula mendefinasikan plagiat sebagai perbuatan meniru, mencontoh karangan (tulisan, hasil kerja orang lain) atau mengutip karangan orang lain (tanpa izin penulis asal). Plagiat juga dianggap sebagai mencedok, iaitu mencedok ciptaan orang lain dan menyiarkannya sebagai ciptaan sendiri.
Dengan kecanggihan dunia Internet, segala informasi kini berada pada hujung jari anda sahaja! Internet menjadi sebuah perpustakaan yang lengkap, terdapat banyak bahan ilmiah yang boleh digunakan sebagai sumber rujukan oleh segenap lapisan masyarakat. Atas ciri-ciri ini, tanpa disedari telah wujud satu budaya baru dalam masyarakat kita. Kecenderungan untuk melakukan plagiat melalui dunia internet kini telah berleluasa dan menular!
Plagiat di Internet. Terlalu banyak aktiviti plagiat yang boleh dilakukan menerusi Internet. Antara aktiviti plagiat ini kebiasaanya melibatkan teks, perisian komputer, animasi – tidak kira dalam bentuk video, audio, grafik dan sebagainya. Terdapat juga aktiviti plagiat di mana teks daripada artikel, buku, blog, wikipedia dan jurnal ditiru. Beribu-ribu hasil carian seperti artikel, data dan gambar boleh didapati dengan hanya menaip kata kunci dan melakukan satu carian yang mudah. Hasil carian diperoleh dalam masa beberapa saat sahaja. Hasil carian kemudiannya boleh di salin tampal (copy-paste), di muat turun ke dalam komputer sendiri malahan ada yang sanggup bertindak lebih jauh lagi – dengan membayar bagi mendapatkan salinan karya tersebut.
Bagi anda yang mahu melakukan plagiat, tiada sebarang kemahiran yang diperlukan. Apa yang anda perlu ada hanyalah kemudahan talian internet, kebolehan mengendalikan enjin carian di internet dan juga anda perlu mempunyai kemahiran asas dalam mengendalikan perisian komputer. Wallah! Senang bukan?
Menurut wikipedia, terdapat 7 aktiviti yang boleh digolongkan sebagai tindakan plagiat:
- Mengakui tulisan orang lain sebagai tulisan anda sendiri
- Mengakui idea orang lain sebagai idea anda sendiri
- Mengakui penyelidikan, data dan uji kaji orang lain sebagai kepunyaan anda sendiri
- Mengakui karya kelompok orang lain sebagai hasil anda sendiri
- Menyajikan tulisan yang sama pada masa yang lain tanpa menyebut asal-usulnya (karya asal)
- Menyalin, meringkas dan menulis semula perkataan, ayat atau idea yang diperoleh daripada sumber lain dan menulis semula mengikut kefahaman anda sendiri. (sama ada menyebut atau tidak menyebut sumber asalnya)
- Melakukan terjemahan bahasa tanpa menyatakan sumber asal terjemahan tersebut
Melakukan plagiat adalah sesuatu yang sangat mudah, semudah ‘salin-tampal’. Plagiat tidak memerlukan seseorang itu untuk mengeluarkan sebarang kos yang tinggi dan mereka juga tidak perlu memerah otak dan keringat untuk menghasilkan sebuah karya yang asli dan bermutu. Masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesebuah karya juga adalah singkat dan cepat. Plagiat juga membolehkan seseorang itu menghasilkan karya atau artikel tanpa memerlukan mereka membuat sebarang penyelidikan, pengumpulan data atau bersusah payah melakukan ujikaji di dalam makmal.
Dikategorikan sebagai jenayah besar dalam bidang penulisan, plagiat tidak hanya dilakukan oleh segelintir golongan, ia mungkin boleh dilakukan oleh pelajar, penulis blog, penulis buku, artis dan juga bagi mereka yang telah bekerja. Di Malaysia sendiri, pernah terjadi kes yang dibawa ke mahkamah dimana dua orang kakitangan akademik di sebuah IPTA tempatan telah memplagiat bahan rujukan untuk menghasilkan sebuah buku panduan untuk kegunaan pelajar. Selain itu, terdapat juga kes-kes lain dimana puisi dan hasil karya penulis asal telah diolah semula dan diterbitkan dalam media yang berbeza. Walaupun begitu, kes-kes yang berlaku di Malaysia tidaklah se-ekstrem seperti yang berlaku di tahap antarabangsa.
Mengapa Terdorong Melakukan Plagiat?
Terdapat beberapa faktor penyebab mengapa seseorang itu melakukan plagiat. Antaranya seperti yang berikut:-
- Kesuntukan masa dan tiada idea dalam menyiapkan sesuatu tugasan
- Tiada kemahiran dalam melakukan penyelidikan
- Sikap mereka yang melakukan plagiat itu sendiri
- Kurang pendedahan tentang plagiat dan undang-undang hak cipta
Kesuntukan Masa Dan Tiada Idea Dalam Menyiapkan Tugasan
Alasan. Ini merupakan suatu alasan yang kerap didengar mengapa seseorang itu sanggup melakukan plagiat. Walaupun pada asalnya, masa yang diberikan sememangnya mencukupi, namun bagi mereka yang suka melakukan kerja-kerja pada saat akhir tugasan pastinya cenderung untuk melakukan plagiat. Ada juga yang menghadapi situasi kekeringan idea ketika menyiapkan sesuatu tugasan. Jalan mudah mula diambil dengan meniru hasil kerja orang lain yang boleh didapati di internet. Karya di internet ini ada kalanya diubahsuai sedikit dari segi susunan ayat agak tidak begitu ketara menyamai karya asal. Ada juga yang diambil ‘bulat-bulat’ dari karya asal dan ada juga yang bertindak lebih bijak dengan menggabungkan beberapa karya untuk menghasilkan satu karya ciplak.
Tiada Kemahiran Dalam Melakukan Penyelidikan
Terdapat juga kesalahan plagiat di mana pelaku mengambil hasil penyelidikan orang lain. Hasil penyelidikan ini termasuklah data-data yang telah dikaji daripada pengkaji-pengkaji, hasil prosedur makmal, konsep dan penemuan daripada ujian-ujian yang telah dilakukan. Ada juga yang menyalin semula lukisan, graf dan jadual penyelidikan orang lain untuk dijadikan penemuan dalam karya sendiri.
Bagi pelaku plagiat ini, mereka ini berkemungkinan besar tidak mempunyai kemahiran dalam melakukan penyelidikan. Mereka juga mungkin kurang pendedahan mengenai bagaimana merancang strategi untuk memperoleh dan menganalisis maklumat. Seterusnya, jalan mudah diambil dengan hanya mencedok karya orang lain sahaja!
Sikap Mereka Yang Melakukan Plagiat Itu
Kebanyakan mereka yang melakukan plagiat adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai sifat-sifat tertentu dalam diri mereka. Mereka ini mungkin terdiri daripada mereka yang malas, sudah terbiasa di ‘spoon-feed’ sejak sekolah rendah lagi. Sifat ini kemudiannya terbawa-bawa ke universiti, malahan sehingga mendapat pekerjaan yang tetap! Mereka ini kebiasaannya tiada rasa tanggungjawab terhadap hasil kerja yang dihasilkan dan merasakan tiada siapa yang akan tahu jika hasil kerja mereka itu telah ditiru daripada hasil karya orang lain yang terdapat laman-laman web di Internet. Bagi mereka, tidak salah jika menjiplak kerja orang lain.
Kebanyakan mereka yang melakukan amalan plagiat ini juga adalah terdiri daripada mereka yang tidak bijak merancang masa dalam menyiapkan sesuatu tugasan. Apabila tugasan di lakukan di saat-saat akhir, berkemungkinan besar hasil kerja itu sendiri akan menjadi tidak memuaskan dan kesan ‘salin-tampal’ itu nampak lebih ketara.
Ada juga mereka yang melakukan plagiat akibat tertekan untuk mendapatkan hasil kerja yang paling baik. Tekanan ini timbul kerana tugasan yang diberikan itu sangat penting – mungkin tugasan pada tahun akhir pengajian, desakan ibu bapa untuk melihat anaknya menjadi seorang yang cemerlang dan atas keinginan sendiri untuk memberikan yang terbaik dalam tugasan tersebut.
Kurang Pendedahan Tentang Plagiat Dan Undang-Undang Hak cipta
Terdapat segelintir masyarakat yang tidak faham sejauh mana aktiviti meniru itu boleh dikategorikan sebagai plagiat. Ada yang menyangka plagiat itu hanyalah satu aktiviti di mana kata demi kata ditiru dan kemudiannya hasilnya diperakui sebagai hasil karya sendiri. Namun tidak ramai yang sedar bahawa secara langsung plagiat itu juga terjadi apabila penulis itu menyalin ayat-ayat penting sahaja tanpa sebarang perubahan atau mencantumkan beberapa karya lain menjadi satu karya baru.
Di Malaysia sendiri, melakukan aktiviti plagiat boleh membawa kepada tindakan undang-undang di bawah Akta Hak Cipta 1987. Apa-apa sahaja hasil karya seni, baik yang terbit secara konvensional mahupun yang terbit dalam internet adalah dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987. Istilah ‘karya seni’ di sini termasuklah ayat-ayat, gambar dan lukisan. Semuanya tidak boleh dicuri, disalin, dicetak atau di muat turun atas tujuan yang akan menguntungkan si pelaku.
Tidak ramai yang tahu, kini terdapat beberapa perisian percuma dan berbayar yang boleh didapati dengan mudah di Internet yang berfungsi untuk mengesan sekiranya karya itu telah diplagiat daripada mana-mana laman web di Internet. Oleh itu, awas dan berhati-hati lah.
Kesimpulan
Dengan kecanggihan dunia Internet pada masa ini, melakukan plagiat adalah sesuatu yang mudah dan mendatangkan hasil dengan kadar yang segera. Walau bagaimanapun, anda perlu sedar bahawa segala informasi yang terdapat di internet adalah terpelihara dan dilindungi di bawah undang-undang hak cipta – Akta Hak Cipta 1987. Informasi ini tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan atau diterbitkan semula tanpa keizinan penulis asal.
Elakkan daripada melakukan plagiat!
Terdapat beberapa cara bagaimana anda boleh mengelakkan daripada melakukan plagiat. ‘Give credit where credit is due!” – berilah kredit kepada penulis asal hasil karya, laman web atau sumber rujukan yang telah anda gunakan atau ambil sebagai rujukan. Anda juga boleh menyatakan nama penulis, hak milik, judul buku, alamat laman web tersebut dalam teks atau hasil karya anda. Buatlah unsur petikan dengan menulis perkataan “memetik”, “menyebut” atau “berdasarkan” dalam penulisan anda untuk menyatakan yang sesuatu idea itu telah diambil daripada karya, frasa atau data yang ditulis oleh orang lain. Jika karya anda dihasilkan secara dalam talian (online), maka buatlah link ke laman web yang anda gunakan sebagai sumber rujukan. Senaraikan rujukan yang telah digunakan pada nota kaki artikel anda ataupun di bahagian sumber rujukan. Namun sebaik-baiknya, buatlah dengan cara yang lebih beradab – mintalah keizinan secara bertulis, email ataupun surat perjanjian dengan penulis asal karya tersebut.
Ingatlah, melakukan plagiat mungkin membantu seseorang individu itu, namun untuk menjadi seseorang yang berjaya, dia perlu lebih kreatif dan bekerja lebih keras. Sikap suka melakukan plagiat boleh membawa seseorang itu ke arah yang salah. Dengan melakukan plagiat, anda bukan hanya akan membunuh sesuatu karya itu, malahan kreativiti dan hak cipta dari penulis asal. Di samping itu anda juga berkemungkinan akan membunuh perkembangan ilmu dalam sesuatu bidang itu.
USAHAWAN.COM
Perkhidmatan Pembiayaan Le_Meridian pergi ke atas dan di luar keperluan mereka untuk membantu saya dengan pinjaman saya yang saya gunakan memperluaskan perniagaan farmasi saya, Mereka adalah permata yang ramah, profesional, dan mutlak untuk bekerja dengan. Saya akan mengesyorkan sesiapa yang mencari pinjaman untuk dihubungi. Email..lfdsloans@lemeridianfds.com Atau lfdsloans@outlook.com.WhatsApp ... + 19893943740.
BalasPadam