Kecantikan adalah aset dan lambang kewanitaan. Sifat wanita itu pula yang cemburu apabila melihat wanita lain yang seusia dengannya tetapi masih cantik adalah merupakan perkara biasa. Tidak dapat dinafikan yang wanita pada zaman sekarang agak prihatin terhadap kecantikan mereka dan mahu sentiasa kelihatan anggun dan awet muda. Ini semua kerana mereka mahu orang yang tersayang menjadi lebih sayang kepada mereka, bimbang pasangan mereka akan mencari wanita yang lebih baik agaknya. Setiap wanita mengimpikan kulit yang halus mulus, putih bersih dan gebu agar dapat menyerlahkan kejelitaan mereka dan tampak lebih menawan. Ada juga yang mahukan diri mereka kelihatan ramping seperti pada zaman usia muda mereka. Untuk mendapat kecantikan yang diingini, ada yang sanggup berhabis wang sampai beribu-ribu ringgit setiap bulan khusus untuk membeli produk-produk kecantikan diri yang terdapat dalam pasaran. Perniagaan barangan kecantikan diri ini, sememangnya telah lama bertapak di negara kita. Syarikat-syarikat yang menawarkan produk kecantikan diri ini terlalu banyak dan adakalanya kita seperti sedang menyaksikan satu gelombang besar dalam industri perniagaan barangan kecantikan diri dengan penubuhan syarikat-syarikat yang menjual produk kecantikan dan penghasilan jualan bagi satu-satu perniagaan itu ada kalanya mencecah jutaan ringgit setahun.
Penubuhan syarikat-syarikat yang menawarkan produk kecantikan diri ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pengedar-pengedar nya untuk mengubah kehidupan mereka. Ada pengedar yang telah berjaya memperoleh pendapatan lima angka dan ramai lagi yang akhirnya telah berjaya bebas daripada cengkaman beban kewangan. Namun kini terdapat juga produk kecantikan diri yang mengandungi bahan beracun yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Masyarakat perlu lebih peka dan berhati-hati kerana ada dalam kalangan pengasas produk ini yang lebih mengutamakan keuntungan syarikat semata-mata dan kurang memberi penekanan kepada kesucian produk dan hanya memandang sebelah mata terhadap kesan sampingan produk ke atas pengguna.
Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan kejayaan jutawan produk kecantikan diri ini, antaranya:-
- Wujudnya sistem sokongan kerajaan yang berperanan memberikan sumber-sumber maklumat, memberi peluang-peluang perniagaan dan dana-dana bantuan kerajaan seterusnya membantu memberi impak yang positif kepada penglibatan usahawan produk kecantikan diri ini.
- Ekonomi negara Malaysia yang stabil dan kewujudan sistem francais menggalakkan peningkatan usahawan dalam bidang ini.
- Produk kecantikan antarabangsa yang ada dalam pasaran memerlukan kos yang tinggi untuk dimiliki, tetapi produk usahawan tempatan pula sememangnya direka untuk di sasarkan kepada semua golongan termasuk pertengahan dan bawahan.
- Produk kecantikan usahawan tempatan kebanyakannya adalah berasaskan herba dan barangan yang halal. Dengan pembinaan kilang tempatan pula, kapasiti dan operasi pengeluaran produk dapat dipertingkatkan.
- Kisah silam usahawan tempatan yang hidup mereka susah ketika zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha mengubah kehidupan yang lebih baik tanpa mengenal erti putus asa. Dugaan yang hebat sebelum dan selepas memulakan perniagaan menjadikan mereka cekal dalam mengharungi onak dan duri dalam bidang perniagaan ini.
- Taraf penghidupan yang tinggi daripada segi ekonomi, contohnya memiliki kereta dan rumah mewah, mendapat pendapatan bulanan 5 – 6 angka menjadi daya penarik untuk seseorang itu menceburi bidang perniagaan produk kecantikan diri.
Beberapa kisah pengasas produk kecantikan diri ini diceritakan semula dalam artikel ini. Minat yang berterusan terhadap bidang kecantikan menjadikan usahawan ini antara yang terkenal sehingga ke hari ini.
Puan Rozita Ibrahim – Pengasas Produk Sendayu Tinggi
Walaupun sudah berusia 47 tahun dan mempunyai 8 orang anak, susuk tubuh Rozita masih langsing seperti anak dara. Seorang yang sangat berdedikasi dalam membina empayar perniagaannya, Rozita sanggup bersengkang mata dan adakalanya hanya tidur tiga jam setiap malam demi untuk memajukan perniagaannya. Merupakan Pengarah Urusan Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd dan Jamu Ratu Malaya Sdn Bhd, Rozita tidak pernah menjadikan kesibukan menguruskan dua syarikat sebagai alasan untuk mengabaikan kesihatan dan kecantikan, malah begitu teliti dalam pemilihan makanan yang berkhasiat dan berkualiti. Dia memperuntukkan sejumlah wang untuk mengambil makanan tambahan lain termasuk vitamin dan spirulina, gingko keluaran syarikatnya sendiri, Sendayu Tinggi.
Kejayaan Rozita dan syarikat Sendayu Tinggi tidak terjadi dalam sekelip mata. Dia yang terkenal dengan kisah silam nya yang dipenuhi kedaifan dan serba kekurangan, pernah menoreh getah semata-mata kerana ingin mencari sesuap nasi untuk anak-anaknya. Akibat ketiadaan wang untuk membeli susu, dia juga pernah memberi bayi kecilnya minum air sirap bagi menggantikan susu. Dugaan dating bertimpa-timpa apabila ditakdirkan anak keduanya pergi meninggalkan dunia dalam usia yang masih muda. Ketika anaknya itu sakit, Rozita pernah menampal badan anaknya dengan daun-daun kayu bagi menggantikan ubat yang dia sendiri tidak mampu untuk membeli pada ketika itu. Dengan hanya bermodalkan RM400, dia memulakan perniagaan Sendayu Tinggi dengan menjadikan herba sebagai sandaran. Pada mulanya dia hanya menjual produk herbanya dari rumah ke rumah. Sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga akhirnya Rozita menubuhkan syarikatnya sendiri, Sendayu Tinggi Enterprise pada tahun 2000.
Kini Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd. mempunyai 9 buah anak syarikat iaitu Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Properties & Management Sdn Bhd, ST Advertising Agency Sdn. Bhd, C Max Exhibition & Promotion, Sendayu Tinggi Logistics (M) Sdn Bhd, Ethnique Food Industries Sdn Bhd, ST Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd. Sendayu Tinggi juga telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional iaitu Sendayu Tinggi Manufacturing (M) Sdn. Bhd. Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea.
Atas ketabahan, kekuatan dan usaha kerasnya memartabatkan produk kecantikan diri di negara kita, Rozita pernah dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Datin Ira Abdul Ghani – Pengasas Produk Aura Seri
Datin Ira atau nama sebenarnya Nor Zaina Abd Ghani merupakan seorang gadis biasa yang berasal dari kampung. Dia banyak merantau untuk mencari pengalaman hidup. Sama seperti Rozita, Datin Ira juga pernah mengharungi kehidupan yang amat pahit pada usia mudanya. Semua ini tidak dijadikan penghalang untuknya terus berjaya. Berkahwin pada usia yang muda juga bukan penghalang dan berkat sokongan suami dan minat yang mendalam kepada kecantikan membuatkan beliau berani menceburkan diri dalam bidang kecantikan ini. Tanpa berbekalkan sebarang pinjaman dan bantuan wang ringgit, beliau dan suami memberanikan diri untuk menceburi bidang ini.
Datin Ira memperoleh Diploma Kecantikan in Alternative Medicine di Universiti Terbuka Antarabangsa, Calcutta India, dan kini merupakan pengarah Eksekutif Positive Image Resources dan pengasas Kosmetik Aura Sri.
Apabila ditanya tentang matlamat hidupnya, dia ingin melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera terutamanya wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan. Dia juga mahu menjadi ikon dan inspirasi kepada wanita-wanita agar berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Impiannya kini adalah untuk menubuhkan Yayasan Aura Seri untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, khususnya dari aspek pendidikan, kebajikan dan lain-lain. Bak kata pepatah rezeki tidak datang bergolek. Berkat kesungguhan dan motivasi diri yang tinggi ianya terbukti membawa kejayaan dan kini dia sudah berjaya bergelar ‘Jutawan Kosmetik’.
Erni Dekritawati Yuliana Buhari – Pengasas Produk Nouvelles Visages
Tragedi yang menimpa ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya mengemparkan dunia. Tragedi itu kemudiannya mengubah kehidupan Erni Dekritawati Yuliana Buhari. Pada usia 25 tahun, beliau telah terpaksa memikul tanggungjawab yang ditinggalkan ibunya. Satu tanggungjawab yang besar memerlukan dia cekal, secekal ibunya dalam mengharungi dunia perniagaan serba mencabar.
Empayar Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 1994 kini sudah menjangkau seluruh Brunei, Thailand, Singapura dan Indonesia dan dinilai kan melebihi RM 100 juta. Beribu pejabat di Cyberjaya, syarikat itu kini giat merancang untuk mengembangkan jenama Nouvelles Visages dengan memperkenalkan produk alat solek, penjagaan produk penjagaan kulit, badan dan rambut untuk farmasi dan pasar raya besar tempatan tidak lama lagi. Nouvelles Visages juga sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran Timur Tengah. Pada masa ini, terdapat lebih 30 stokis dan 500 cawangan di Malaysia.
Kini, produk Nouvelles Visages sudah berada di pasaran lebih 18 tahun. Bagi Erni atau lebih dikenali sebagai Rita, cabarannya adalah untuk mengekalkan perniagaan ini untuk tempoh 20 tahun akan datang. Matlamatnya adalah untuk memajukan lagi perniagaan kecantikan diri ini bagi memastikan ia kukuh dan boleh bersaing di pasaran antarabangsa.
Diajar berdikari sejak kecil, Rita mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni (Tekstil) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Nottingham Trent, United Kingdom.
Pendedahan dalam dunia perniagaan bermula sejak daripada bangku sekolah menengah lagi dan kini beliau telah berani melakukan beberapa gelombang perubahan seperti mengubah kaedah pemasaran produk yang lebih moden dan mengikut peredaran masa. Rita juga bijak menggunakan saluran media cetak dan elektronik selain laman web sendiri dalam mengetengahkan produk kecantikan Nouvelles Visages.
Kesimpulan
Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Kedua-duanya tidak akan terpisah dan tidak boleh dipisahkan. Sebut sahaja tentang kecantikan kita pasti akan mengaitkannya dengan wanita. Kecantikan juga secara tidak langsung telah membantu para usahawan produk kecantikan memajukan perniagaan mereka. Ada sesetengah antara mereka ini yang telah pun bergelar jutawan kosmetik.
Untuk menjadi jutawan, corak minda dan jiwa mereka telah berubah. Untuk menjadi jutawan, mereka menekankan aspek disiplin dan juga perancangan yang bijak. Ketiga-tiga pengasas produk kecantikan di atas membuktikan yang untuk menjadi jutawan, ia tidak datang sekelip mata malahan perlu disertakan dengan usaha-usaha yang lain. Kebanyakan mereka, walaupun sudah bergelar jutawan, tetapi tidak lupa pada asal-usul mereka. Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka. Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan akan ada terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan. Syabas diucapkan kepada yang telah berjaya, namun bagi yang masih merangkak jadikan cerita-cerita mereka ini sebagai pedoman kejayaan.
USAHAWAN.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan