KUALA LUMPUR 21Sept. - Operator pasar raya besar, Tesco Malaysia akan melabur RM2.3 juta bagi menurunkan harga 18 barang keperluan makanan yang segar melalui 47 stornya di seluruh negara mulai hari ini hingga 1 Disember.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Georg Fischer berkata, kempen harga Tesco membolehkan para pelanggan menikmati harga rendah sehingga 37 peratus bagi produk keperluan segar termasuk ayam bulat, seekor salmon, daging import, timun, nanas dan pisang 'Cavendish'.
"Dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini dan selepas mendengar keluhan pelanggan kami, Tesco mempunyai kewajipan untuk meningkatkan usaha dan membantu para pelanggan berjimat ke atas produk makanan kami yang begitu penting buat mereka.
"Bagi kempen ini khususnya, kami bekerjasama dengan semua pembekal makanan segar kami terutama dengan petani kontrak kami bagi memastikan kami dapat mengekalkan harga ini.
Lebih 70 peratus produk segar kami adalah sumber tempatan dan terus dari ladang, oleh itu ia membolehkan kami memastikan adanya barangan dan kualiti," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek ke Tesco Extra Bandar Bukit Puchong, Puchong di sini hari ini.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan