KUALA LUMPUR - Industri francais tempatan perlu mengutamakan pematuhan sistem agar lebih berdaya maju setanding dengan produk jenama francais dari luar negara.
Ini kerana, kebanyakan kegagalan operasi francais disebabkan tidak mematuhi sistem dan piawaian yang telah ditetapkan francaisor.
Setiausaha Agung, Persatuan Francais Malaysia (MFA), Muhamad Shukri Salleh berkata, industri francais mampu menjadi enjin pertumbuhan utama dan menjana pendapatan lumayan namun jika tidak konsisten, perniagaan tidak akan berjaya.
"Kita mengambil contoh sebuah perniagaan makanan segera yang berkembang meluas di seluruh dunia berjaya kerana jenama dan reputasi perniagaan yang dikenali ramai, sistem operasi yang teratur dan pemantauan berterusan oleh francaisornya.
"Sebaliknya, kegagalan francaise di negara ini adalah disebabkan tidak mematuhi piawaian sistem dan standard yang telah ditetapkan terutamanya dalam kalangan bumiputera," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Shukri berkata, industri francais di negara ini lebih-lebih lagi produknya semakin mendapat sambutan dan berkembang, namun untuk mempertahankan sesebuah jenama dan produk, francaisor dan francaise harus bersama-sama memperkemaskan sistem, selain perlu membuat kajian dan pembangunan (RND) berterusan dan kreatif agar lebih berdaya maju.
"Malaysia mempunyai 47 produk tempatan di 51 buah negara di seluruh dunia dan ia adalah sesuatu yang memberangsangkan dan kita berharap ia akan semakin meningkat di masa depan.
"Kita jangan hanya menjadi jaguh di dalam negara tetapi perlu mengambil peluang untuk menembusi pasaran luar negara," katanya.
Jelasnya, usahawan di negara ini bertuah kerana kerajaan memberi perhatian kepada industri francais menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bahagian francais, selain Perbadanan Nasional Bhd. dan persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) yang akan membantu perniagaan mereka.
"Ini jelas dapat dilihat menerusi kejayaan francais yang telah menempa nama di persada antarabangsa," katanya.
Shukri menambah, kini francais mikro juga telah menjadi salah satu cabang perniagaan yang mampu menguntungkan usahawan.
"Dengan berbekalkan modal yang tidak terlalu banyak, usahawan kini boleh menjana pendapatan yang tinggi.
"Antara contoh yang boleh kita ambil adalah seperti produk minuman dari Taiwan, Chatime yang berjaya menembusi pasaran dan berkembang menjadi francais di negara ini.
Jelasnya lagi, produk francais tempatan perlu diutamakan agar tidak timbul isu di masa depan terutama masalah wang royalti, dividen dan aliran wang keluar masuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan