Ramai yang bercita-cita untuk menjadi orang yang berjaya. Wang ringgit selalunya menjadi ukuran sejauh mana seseorang itu berjaya dalam hidup atau kerjayanya. Ramai yang mendambakan kereta mewah, rumah tersergam indah, pembantu rumah tidak kurang dari 2 orang untuk memasak, mengemas rumah, peluang bercuti ke luar negara setiap tahun dan sebagainya.
Secara konvensional dan apa yang selalu orang percaya, cara untuk berjaya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sewaktu dibangku sekolah dan menimba ilmu hingga ke menara gading. Jika seseorang dapat merangkul segulung ijazah maka cerahlah masa depan. Secara normalnya, keadaan inilah yang kita lihat terjadi. Jika seseorang tidak mahu mengikuti jalan tersebut iaitu untuk mendapat kelayakan akademik, maka sangat sukar untuk berjaya di dalam kerjaya sekali gus sukar untuk hidup mewah.
Namun begitu tidak semua orang bernasib baik daripada awal kehidupan dan mendapat peluang untuk mengikuti kelas secara rasmi dan formal di sekolah. Masih ada sesetengah golongan yang tidak berpeluang untuk ke sekolah, apatah lagi melanjutkan pelajaran ke menara gading. Golongan ini tidak dapat mengecapi kemewahan hanya kerana mereka tidak mempunyai peluang!
Walau bagaimanapun, bak kata pepatah melayu di mana ada kemahuan, disitu ada jalan. Sekali hati nekad untuk berjaya, walau apa rintangan yang datang pasti semangat itu tidak luntur. Inilah yang dialami oleh Puan Suria yang selalu percaya bahawa dia akan berjaya dengan hanya berniaga dari rumah. Puan Suria baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke 40 tahun. Ramai yang hadir antaranya saudara mara serta rakan taulan. Pada majlis sambutan hari lahirnya juga, Puan Suria menghidangkan kek kukus hasil kerja tangannya sendiri. Puan Suria sangat gembira bukan kerana majlis itu adalah untuk meraikan hari lahirnya, tetapi beliau gembira kerana hasil titik peluh membuat kek kukus saban hari, saban malam hingga terpaksa bersekang mata telah membuktikan bahawa usaha itu tangga kejayaan.
Puan Suria tidak belajar daripada buku teks untuk merasai betapa usaha lah yang sebenarnya akan meletakkan seseorang itu di tangga kejayaan. Puan Suria merasai dan melaluinya secara praktikal. Puan Suria tidak hanya membaca ungkapan “Usaha itu tangga kejayaan” di dada buku tetapi perkataan itu sentiasa tersemat di hati dan mindanya terutamanya di saat beliau merasa putus asa apabila kek yang dikukusnya tidak menjadi. Ini berlaku pada awal penglibatannya dalam perniagaan kek kukus dari rumah.
Oleh kerana Puan Suria tidak mampu untuk menyertai mana-mana kelas membuat kek, beliau hanya mencuba memulakan perniagaan kek kukus secara perlahan-lahan. Suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain akan dipaksa oleh Puan Suria untuk merasa kek kukus beliau setiap kali mereka berkunjung ke rumahnya. Setiap orang yang mencuba kek kukus Puan Suria pasti akan ketawa apabila mengimbau kembali detik mereka diarahkan oleh Puan Suria untuk mencatat segala komen dan cadangan yang terlintas dikotak fikiran mereka selepas mencuba kek yang dikukus Puan Suria. Sudah 10 tahun usia perniagaan yang dijalankan Puan Suria dari rumahnya sahaja. Sudah banyak perubahan yang berlaku dalam hidup Puan Suria sekeluarga sejak beliau menjalankan perniagaan ini.
Pada awalnya, Puan Suria mencuba membakar dan mengukus pelbagai resepi kek buah dan juga kek jenis yang lain. Setiap kali proses membakar atau mengukus kek, Puan Suria akan membuat perubahan keatas resepi kek berdasarkan komen atau cadangan yang diberikan oleh sanak saudara, sahabat dan ahli keluarga. Kebetulan pula kebanyakan mereka yang memberi cadangan menyatakan kek buah kukus hasil resepi yang direka sendiri oleh Puan Suria enak sekali. Ia juga tahan lama kerana cara pembuatan kek kukus ini adalah melalui proses yang sistematik dan kebersihan amatlah dititik beratkan.
Kelainan pada resepi dan cara pembuatan adalah rahsia tersohornya kek kukus Puan Suria. Buah-buahan kering untuk membuat kek dibeli berasingan daripada kedai bahan-bahan kek yang terkenal di Lembah Kelang ini. Buah-buahan kering tersebut akan direndam dan diperap dengan campuran sos yang unik. Sos diperbuat daripada campuran gula perang, serbuk kulit kayu manis, serbuk herba campuran serta kulit oren yang diparut halus. Bahan-bahan ini direndam selama satu malam. Sudah tentu kita pun boleh bayangkan rasa sos yang meresap ke dalam buah-buahan kering tadi.
Puan Suria amat menitik beratkan tempat penyediaan yang bersih. Semasa penyediaan, beliau akan memastikan pakaian yang dipakai olehnya adalah lengkap dan mematuhi cara pengendalian membuat produk makanan. Puan Suria hanya mendapat pendedahan tentang maklumat pengendalian makanan yang betul sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ini juga adalah bermula dari inisiatif beliau sendiri untuk menghadiri kursus-kursus yang penting untuk membuktikan kepada pelanggan bahawa beliau juga tidak lokek untuk membuat pelaburan demi untuk menghasilkan produk makanan yang enak, bermutu serta bersih dari segi bahan-bahan yang digunakan. Bahan pengawet dan perasa tiruan tidak pernah dicampurkan sebagai bahan untuk membuat kek.
Sehingga waktu ini, beliau masih lagi belum selesa untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat kilang kerana pada pendapat beliau tujuan asal menghasilkan kek kukus dari rumah ialah kerana produk makanan ini jarang diceburi peniaga lain. Proses mengukus yang lama untuk memastikan kek masak dengan betul serta dapat mengekalkan rasa yang enak. Puan Suria masih mengenakan harga yang berpatutan walaupun harga bahan-bahan yang diguna sudah melambung naik. Bagi Puan Suria, jika beliau ikhlas untuk menolong pelanggannya menikmati kek kegemaran mereka, rezeki akan datang dengan mudah.
Sekitar lima tahun kebelakangan ini, Puan Suria sudah menambah alatan untuk mengukus kek kepada lebih 20 biji periuk pengukus. Suaminya yang juga mahir dalam kerja-kerja binaan telah menyediakan bahagian dapur yang sesuai untuk mengukus kek sehingga 20 biji dalam satu masa.
Pesanan untuk kek buah kukus Puan Suria akan datang pada bila-bila masa sahaja. Jika pada waktu awal penglibatan beliau di dalam perniagaan ini, pesanan hanya datang dari jiran tetangga, sahabat handai dan sanak saudara sahaja. Tetapi sejak lima tahun yang lepas, pesanan datang daripada segenap pelusuk negara. Ada yang memesan melalui telefon, rakan dan jiran dan ada juga yang memesan melalui laman blog Puan Suria.
Kisah menarik tentang laman blog Puan Suria sebenarnya dizahirkan secara kebetulan sahaja. Salah seorang pelanggan setia kek kukus Puan Suria yang bernama Cik Marini merupakan seorang yang mahir dalam penulisan laman blog. Oleh kerana sudah sekian lama Cik Marini menggemari kek kukus Puan Suria, satu hari dia bertekad untuk melawat Puan Suria di rumahnya dan melihat sendiri bagaimana proses membuat kek kukus. Bermula dari waktu itu, Cik Marini pada mulanya mempromosi kek kukus Puan Suria di laman blognya sahaja. Tetapi lama kelamaan, mereka berdua bersahabat dan Cik Marini telah memberi tunjuk ajar supaya Puan Suria juga boleh membangunkan laman blognya sendiri dan sekali gus dapat mempromosi kek kukusnya.
Puan Suria akui bahawa pada awalnya beliau amat kekok untuk membangun apatah lagi untuk meguruskan laman blognya itu. Akan tetapi dengan disiplin dan etika kerja yang teratur, Puan Suria menyediakan jadual harian dan mingguan untuk menguruskan pesanan melalui blog. Beliau juga akan memastikan maklumat dan gambar-gambar dikemaskini mengikut jadual.
Apabila seseorang menjalankan perniagaan dari rumah, penghantaran produk mestilah dibuat dengan cara yang teratur. Lebih-lebih lagi jika produk yang anda jual melibatkan produk makanan. Puan Suria memilih pelbagai cara penghantaran mengikut kesusaian lokasi pelanggan. Penghantaran kepada pelanggan akan dikenakan bayaran yang berpatutan mengikut kos yang dikenakan oleh ajen penghantaran seperti pejabat pos dan sebagainya. Ada juga pelanggan yang datang untuk mengambil kek mereka sendiri.
Kek kukus Puan Suria boleh tahan lama. Oleh itu, beliau juga pernah membuat penghantaran kek ke luar negara seperti ke Singapura, Indonesia, India dan beberapa tempat di negara Eropah. Kebanyakan pelanggan yang berada di luar negara adalah terdiri daripada orang Malaysia yang bekerja atau belajar di negara-negara tersebut. Mereka mengetahui akan kek kukus Puan Suria melalui laman blog. Setakat ini semua pelanggan dari luar memberi komen yang positif terhadap rasa dan cara pembungkusan kek kukusnya. Walaupun masa penghantaran yang agak lama dan jarak yang jauh, kek kukus Puan Maria masih tidak terusik seperti hanya datang dari rumah berdekatan!
Bohonglah jika seseorang yang menjalankan perniagaan tidak pernah melalui kesukaran dan cabaran. Puan Suria juga pernah mengalami pelbagai kerenah pelanggan dan kesulitan untuk berjaya sehingga ke tahap ini. Suatu kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh Puan Suria berlaku pada dua tahun yang lepas apabila beliau menerima pesanan yang agak banyak daripada seorang pelanggan melalui laman blognya. Akan tetapi, selepas pesanan dibuat dan kek sudah siap, pelanggan menghilangkan diri tanpa berita. Bayaran tidak dibuat. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Puan Suria mengambil langkah untuk membuka gerai sementara di kawasan pasar tani berdekatan bandar untuk menjual kek-kek yang tidak dituntut pelanggan. Pada waktu itu, nasib menyebelahi Puan Suria kerana bukan sahaja kek kukus beliau habis terjual tetapi kejadian itu telah melonjakkan lagi promosi terhadap kek kukusnya. Bertitik tolak dari saat itu, Puan Suria terus yakin bahawa apa jua kesulitan yang dialami untuk memajukan perniagaannya, pasti ada hikmah dan penyelesaian yang akan muncul. Yang penting tidak putus asa dan tidak boleh ada perasaan malu!
Walau bagaimanapun, setiap kesusahan dan cabaran yang dialami mestilah dijadikan pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak berulang. Puan Suria mengambil langkah untuk mengenakan bayaran sebanyak 50% daripada jumlah keseluruhan tempahan kepada pelanggan yang tidak dikenalinya.
Pada kesimpulannya, seseorang pastinya boleh berjaya dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi jika mempunyai wawasan dan objektif yang nyata. Disiplin serta sikap sabar yang tinggi haruslah disemat dalam diri. Inilah yang diamalkan Puan Suria yang kini sudah boleh berpuas hati dengan pendapatan perniagaan kek kukus dari rumah mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan