Rawang: Dengan bayaran serendah RM500, pendatang asing tanpa izin (PATI) berketurunan Suluk dari Filipina akan diberi kad pengenalan palsu untuk memasuki negara ini tanpa diganggu pihak berkuasa.
Sindiket pemalsuan kad pengenalan yang bergiat aktif di Sabah itu dipercayai menggunakan kad pengenalan rakyat tempatan yang hilang atau tercicir sebelum memalsukan dokumen berkenaan dengan menukar gambar serta alamat pada kad terbabit.
Kegiatan terbongkar
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggempur sebuah kawasan perumahan kos rendah di Bandar Country Homes, di sini, dipercayai lokasi persembunyian ratusan kaum berketurunan Suluk jam 1 pagi semalam.
Mereka dipercayai membuat penempatan di situ lebih dua tahun lalu kerana kadar sewa yang rendah iaitu antara RM180 hingga RM200 saja.
Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Wan Awang, berkata kebanyakan mereka tidak gentar dengan pihak berkuasa kerana mempunyai kad pengenalan palsu yang dibeli daripada sindiket di Sabah.
Katanya, siasatan mendapati, kad pengenalan yang digunakan sindiket itu adalah milik penduduk negara ini yang dilaporkan hilang atau tercicir oleh pemiliknya.
Cip tak boleh diubah
“Kebanyakan kad akan diubah di bahagian nama, alamat dan gambar saja. Bagaimanapun, cip pada kad itu tidak boleh diubah. Kita masih dapat mengesan pemilik sebenar kad itu menerusi cip itu. Setakat ini tiada lagi kes pemalsuan cip yang kami jumpa,” katanya kepada pemberita, di sini.
Wan Zakaria berkata, menerusi serbuan dengan kerjasama Jabatan Imigresen itu, pihaknya memeriksa 40 unit rumah dan menahan tujuh warga asing yang memegang kad pengenalan palsu.
“Kita percaya ramai PATI yang menggunakan kad pengenalan palsu dikesan berada di Lembah Klang dan sindiket ini mampu mengaut keuntungan lumayan,” katanya.
Sementara itu, seorang kaum Suluk yang mahu dikenali Faizal, berkata dia mengakui membeli kad pengenalan itu dua tahun lalu sebelum menyeludup masuk ke Malaysia.
Katanya, dia hanya perlu memberi gambar pasport dan membayar RM500 saja kepada satu sindiket di Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan