Baik, buruk durian
Semua orang kenal durian, iaitu raja buah. Selain rupanya yang berduri dan keenakan rasa dan aroma boleh menambat selera. Kini, kita tidak perlu lagi menunggu musim durian, ia boleh didapati dengan mudah khususnya di pusat beli-belah.

Apatah lagi jika musim durian datang, di mana-mana saja termasuk di tepi jalan di taman perumahan. Cuma lebih enak durian ini di makan terus di tepi kebunnya. Meskipun harganya mencecah puluhan ringgit sekilogram untuk dengan pelbagai spesis seperti musang king, D24 dan durian tembaga.
Memang ramai juga yang tidak suka bau dan rasanya, tapi bagi peminat durian, buah itu memang tidak harus ditolak.


Ada pendapat mengatakan durian tidak boleh dimakan oleh penghidap kencing manis dan darah tinggi kerana ia dianggap buah ‘panas’.

Bagaimanapun, pendapat ini hanya satu pandangan tidak berasas apabila pakar pemakanan mengatakan raja buah ini penuh dengan zat lengkap dan sumber nutrisi badan. Malah, durian adalah salah satu jenis buah yang padat dengan khasiat dan mengandungi nutrisi bagus. Ini kerana buah tropika ini kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral seperti vitamin C, B Kompleks, Potassium, kalsium dan juga zat besi.

Lanta, tiada halangan kepada pesakit diabetes, darah tinggi atau pesakit lain untuk menjamah ini asalkan pengambilannya berpada-pada bagi mengelak mudarat kepada kesihatan.

Kaya Vitamin
Pakar Pemakanan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Ong Min Ying, berkata durian kaya dengan vitamin dan mineral.

Katanya, durian memberikan kalori atau tenaga yang lebih tinggi berbanding dengan buah lain dan dua ulas durian (saiz sederhana) memberikan 60 kalori.
Bagaimanapun, jika durian diambil secara berlebihan, ia mungkin menyebabkan berat badan meningkat.

“Berat badan yang berlebihan meningkatkan risiko mendapat penyakit kencing manis dan sakit jantung,” katanya.

Beliau berkata, seperti buah-buahan lain, durian juga mengandungi vitamin C, iaitu lima ulas durian dengan berat sebanyak 189 gram mengandungi 9.7 miligram vitamin C iaitu bersamaan dengan kandungan vitamin C untuk dua epal merah saiz sederhana.

“Durian antara buah yang padat dengan khasiat dan adalah sumber nutrisi yang bagus, Buah tropika ini kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral seperti vitamin C, Vitamin B kompleks, Potassium, kalsium dan zat besi. Durian juga mengandungi serat yang tinggi” katanya.

Hadkan pengambilan

Katanya merungkai delima pesakit diabetes yang takut untuk menjamah buah lazat ini, beliau berkata, durian tidak mengandungi kolestorel.

“Kolestrol hanya datang daripada sumber haiwan. Jika seseorang mengambil buah durian, tahap kolestrol tidak tinggi tetapi, perlu ingat durian mengandungi kandungan lemak yang tinggi berbanding dengan buah lain. Jika seseorang makan durian berlebihan, maka jumlah pengambilan lemaknya akan meningkat,” katanya.

Pendapat menyatakan durian menyebabkan panas badan sebenarnya bergantung kepada kuantiti pengambilannya, jika sedikit ia tidak mendatangkan sebarang masalah.

“Metabolisme badan kita akan meningkat semasa proses pencernaan makanan dan ini akan menaikkan suhu badan. Durian adalah sumber makanan yang padat dengan kalori, jika dimakan terutama secara berlebihan, ini akan menyebabkan suhu badan meningkat, maka seseorang itu akan terasa kepanasan,” katanya.

Minum banyak air bagi membantu mengurangkan panas dan mengawal suhu badan mengikut julat normal.

“Apabila suhu badan meningkat, badan akan merangsangkan sistem untuk menyejukkan badan supaya suhu badan diturunkan ke julat normal. Berpeluh dan buang air kencing adalah antara cara badan disejukkan,” katanya.

Oleh itu, dapat disimpulkan pengambilan durian dengan kadar sederhana akan membawa banyak kebaikan kerana pelbagai vitamin.

Kebaikan durian

Durian boleh membantu mengekalkan kesihatan kulit, sistem imunisasi dan fungsi saraf, selain pelawas menghindari sembelit.

Kalori tujuh ulas durian bersamaan dengan satu mangkuk nasi.

“Semua orang bebas makan durian. Bagi pesakit diabetes durian adalah sumber karbohidrat. Cuma perlu hadkan pengambilannya untuk mengelak tahap gula darah tidak naik secara mendadak. Cukup sekadar dua ulas durian (sederhana).

“Dua ulas ini membekalkan 15 gram karbohidrat bersamaan dengan satu biji epal atau satu biji pisang,” katanya.

Oleh itu, dicadangkan, pengambilan buah ini sama seperti buah lain berdasarkan Panduan Piramid Makanan Malaysia. Buah-buahan digalakkan diambil sebanyak dua hidangan atau lebih dalam sehari.

Satu hidangan buah bersamaan dengan dua hingga tiga ulas durian, maka seseorang itu boleh mengambil sebanyak lebih kurang empat hingga enam ulas sehari.