SME sasar peningkatan 6 peratus mulai tahun depan
SME Corp Malaysia menyasarkan peningkatan tahunan sebanyak enam peratus, bermula tahun hadapan, bagi jumlah usahawan muda yang mendaftarkan perniagaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hafsah Hashim, berkata peningkatan itu perlu bagi menambah baik landskap perniagaan tempatan di samping melonjakkan ekonomi semasa khususnya bagi peniaga skala kecil.
"Kita perlu ada dinamisme dalam menetapkan hala tuju ekonomi. Justeru, melihat kepada landskap dan ekosistem, kita harus memastikan jumlah pemain industri mencukupi dan meningkat dalam kadar sepatutnya setiap tahun," katanya yang juga seorang ahli panel mengenai "Malaysia Sebagai Startup Lanskap" di GES 2013.
Katanya, untuk menjadi usahawan berjaya, usahawan muda perlu tahu destinasi mereka sebelum melangkah ke arah global dan dengan menjalankan perusahaan berdaftar, mereka boleh pergi jauh dengan adanya bimbingan dan latihan daripada badan bersesuaian.
"Selain itu, dana mencukupi juga dapat disediakan dalam usaha membantu usahawan supaya akses produk dan perkhidmatan mereka terjamin di dalam dan luar negara," katanya.
Hafsah berkata antara isu yang perlu ditangani adalah proses mendaftarkan perniagaan dan mendapatkan lesen operasi daripada kerajaan.
Beliau berkata satu sistem yang membolehkan kedua-dua perkara itu disatukan perlu diwujudkan supaya dapat mempercepatkan pendaftaran syarikat dan inovasi idea berterusan.
"Sekarang kita boleh mendaftarkan perniagaan dalam tempoh 24 jam namun pemberian lesen juga memainkan peranan untuk operasi usahawan. Kita perlukan satu gabungan sistem yang dapat memastikan kedua-dua perkara ini diperoleh sekali gus dan serta-merta," katanya.
Usahawan muda pada hari ini tidak mendaftarkan syarikat atau operasi masing-masing disebabkan salah faham mengenai cukai korporat yang hanya dikenakan kepada organisasi yang mencapai keuntungan sebanyak RM500,000 setahun.
"Kita menyediakan khidmat nasihat kepada usahawan baharu serta siswazah supaya mereka tahu selok-belok dan kebaikan mendaftarkan syarikat mereka. Ini mampu membolehkan mereka berkembang cepat dalam industri," katanya.
Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan