KAZAN (Tatarstan) 7 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan pembukaan 20 cawangan francais Malaysia di Rusia dalam tempoh tiga tahun.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Nasir Noryakin berkata, sasaran itu berdasarkan minat yang tinggi terhadap model perniagaan francais dari Malaysia.
Berdasarkan permintaan dan juga minat yang ditunjukkan pada Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Kazan, Tartarstan dari 3 hingga 6 Oktober, beliau berkata, potensi pasaran francais di sana dianggarkan bernilai RM7 juta.
Menurut Mohd. Nasir, KPDNKK mengharapkan menerusi 100 sesi jaringan perniagaan yang berlangsung sempena pameran itu akan memberikan hasil positif kepada penggiat francais negara.
Jelasnya, KPDNKK akan sentiasa bekerjasama dengan Matrade bagi memastikan pemegang francais induk tempatan mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan Rusia.
"Kita dapati potensi di sini amat besar, amat luas dan hasil penerimaan masyarakat tempatan di sini yang berminat dengan sistem francais ini, saya rasa mereka memang berminat khususnya francais dalam makanan dan minuman (F&B) serta pendidikan," katanya.
Bercakap kepada Bernama di Kazan baru-baru ini, beliau berkata, pada masa ini, terdapat 1,494 cawangan francais tempatan di seluruh dunia, manakala terdapat 679 pemegang francais induk tempatan beroperasi dalam negara.
Jenama francais tempatan yang terkenal serta memiliki status halal menjadi tarikan utama, katanya.
Mohd. Nasir berkata, KPDNKK akan sentiasa menggalakkan pemegang francais induk tempatan yang sudah mempunyai jenama francais yang kukuh dalam negara supaya meluaskan pasaran dan meneroka pasaran baharu di luar negara. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131008/ek_01/Perkenal-francais-Malaysia-di-Rusia#ixzz2h96RFd00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan