Ramai antara usahawan kita yang ingin memborong di China inginkan untuk terus membeli dari kilang. Ini adalah kerana persepsi mereka bahawa membeli dari kilang adalah murah dan mudah. Namun keadaannya berbeza di negara China.
Di China, rantaian pemborongan di China bermula dari kilang. Namun tidak semua kilang ini menghasilkan produk yang penuh siap. Ada kilang yang hanya menghasilkan komponen-komponen tertentu bagi sesuatu barangan yang siap. Contohnya ada kilang membuat butang baju, ada kilang yang membuat benang dan ada kilang membuat fabrik.
Jadi peniaga di China akan menempah barangan dengan kuantiti yang besar dari kilang yang berasingan dan menyediakan barangan siap. Namun, terdapat juga kilang yang menyediakan keseluruhan produk.
Peniaga ini akan meletakan barangan yang dah siap ini di kedai-kedai borong mereka. Kedai-kedai borong ini pula akan dikumpulkan dalam satu plaza borong mengikut kategori masing-masing. Terdapat plaza kasut, plaza jam tangan, plaza fabrik, plaza perabot, plaza barangan hotel, plaza barang mainan dan pelbagai jenis plaza lain.
Di kedai-kedai borong ini, anda biasanya tidak dapat membeli barangan dengan pembelian runcit seperti 1-2 helai. Anda perlu membeli paling kurang pun 5 helai. Namun harga bagi pembelian yang kecil adalah mahal. Apabila anda membeli dalam bilangan 100 helai, harga yang anda dapat adalah jauh lebih murah. Harga dikurangkan mengikut kuantiti pembelian kita.
Jadi sewaktu Rombongan Memborong ke China kami, kami tidak membawa usahawan melawat ke kilang-kilang. Kami akan membawa mereka ke plaza-plaza borong ini. Ini adalah tempat pertama untuk mereka bermula untuk memborong.
Setelah perniagaan anda sudah berkembang maju dan anda mampu untuk membeli dalam kuantiti yang besar, contohnya 2000-3000 helai baju. Barulah sesuai untuk anda pergi ke kilang-kilang.
Untuk membeli barangan yang sudah siap adalah lebih baik anda membeli dari plaza borong berbanding di kilang. Dalam kebanyakan situasi, harga yang diperolehi di plaza borong adalah lebih murah berbanding di kilang.
bagaimana ini boleh berlaku ?
Katakan seorang peniaga yang mempunyai kedai borong di plaza borong di China menempah 10,000 helai baju dari kilang dan mendapat harga RM 5.50. Peniaga ini menjual di plaza borong dengan harga RM 6.50. Anda pula pergi ke kilang yang sama dan menempah 1000 helai baju. Anda mungkin dapat harga baju yang sama ini dengan harga RM 7.50. Beginilah logiknya.
Lebih tinggi tempahan anda, lebih murah harga barangan yang anda perolehi.
Jadi sebelum memilih untuk ke kilang atau plaza borong, anda mungkin perlu mengkaji kuantiti yang anda mampu tempah. Jika kuantiti tidak banyak, cuba dahulu dengan plaza borong.
Tentang pemilihan kilang yang tulen, saya akan tulis di masa hadapan. Pemilihan kilang yang tulen adalah sangat penting. Jika tidak, anda tidak semena-mena akan ditipu oleh pekilang tersebut. Waktu lain anda ke kilang tersebut, mungkin kilang itu tidak ada lagi di tempat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan