SETELAH berbahas dan kemuncaknya malam tadi, akhirnya Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 diluluskan dengan suara majoriti penyokong kerajaan jam 12:50 tengah malam tadi.

Perbahasan rang undang-undang itu hangat dan memperlihatkan kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan saling mempertahankan pendirian dan pandangan masing-masing atas nawaitu untuk menjadikan rang undang-undang berkenaan murni dan benar-benar berimpkatif.

Pihak kerajaan yakin dan percaya rang undang-undang berkenaan tidak bersifat penganiayaan dan adil serta sangat penting untuk membasmi penjenayah berat di negara ini.

Manakala pihak pembangkang mempersoalkan rang undang-undang berkenaan sebagai hendak mengembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebelum ini dalam bentuk baru. Pembangkang juga meragui rang undang berkenaan akan disalah-gunakan.

Walaupun jaminan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ia tidak akan digunakan untuk tujuan politik tetapi pembangkang tetap meraguinya berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini.

Semasa perwujudan akta ISA tahun 1959 dahulu, ada jaminan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Al Haj yang akta berkenaan akan digunakan untuk menangkap para subversif sahaja.

Tetapi apa yang berlaku jelas ia turut terheret kepada penahanan tanpa bicara terhadap ratusan ahli-ahli politik pembangkang termasuk juga para guru agama dan pondok.

Selain itu pembangkang berhujah rang undang-undang berkenaan juga bertentangan dengan Perlembagaan negara dibawah Artikel 149 perlembagaan negara. Pembangkang juga mempertikaikan kenapa sebelum ia dibentangkan ianya tidak bawa kepada peguam negara untuk diminta nasihat kerana cara itu adalah kehendak perlembagaan.

Hal ini dakwa pembangkang diakui sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang beliau tidak diberikan draf rang undang-undang berkenaan malahan Abdul Ghani dipetik berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut.

Bagaimana dakwaan pembangkang itu dinafikan oleh menteri, di mana katanya perkara itu tidak betul dan rang undang-undang itu telah dibawa kepada peguam negara dan pihak-pihak lain sebelum ianya dibawa ke Parlimen. Menurut menteri juga ia juga dibaa dalam forum untuk mendapat timba balik daripada orang ramai.

Dalam perhatian saya sessi perbahasan rang undang-undang ini baik diperingkat dasar atau jawatankuasa, hingga keperingkat hendak meluluskan, ia menggambarkan kesungguhan dan keprihatinan di pihak pembangkang bagi menjamin rang undang-undang berkenaan tidak bersifat kejam dan zalim. Hampir semua ahli parlimen dari kedua-dua pihak yang arif mengenai undang-undang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Pendek kata rang undang-undang berkenaan dibahas secara lumat leat.

Walaupun disepanjang perbahasan itu ada wakil rakyat yang terbiasa dengan perangainya suka menyampuk dan mempersenda-sendkan di antara satu sama lain, namun keseluruhan sessi perbahasan itu menarik dan mempunyai kualiti sebagai ahli parlimen sewajarnya.

Malang sedikit hampir semua cadangan dan teguran pembangkang termasuk dalam soal-soal teknikal dan feudalmental, termasuk alasannya bertantangan dengan perlembagaan tidak dipedulikan oleh menteri KDN.

Semoga dengan lulusnya rang undang-undang berkenaan tujuan dan matlamat kerajaan untuk membenteras penjenayah berat akan tercapai. Kejadian tembak menembak yang menghantui rakyat Malaysia beberapa bulan lalu hendaknya akan dapat diatasi. Sehubungan itu juga indeks jenayah di negara ini akan menurun ke peringkat yang minimum dan munasabah.

Dari aspek lain, perbahasan dan kelulusan rang undang-undang berkenaan juga memberi markah yang besar kepada menterinya, Ahmad Zahid yang ketika ini sedang berdepan dengan pemilihan kepimpinan di dalam Umno.

Rang undang-undang itu sedikit sebanyak membantu beliau untuk mendapat perhatian para perwakilan Umno untuk mengekalkan kedudukan sebagai Naib Presiden Umno yang mendapat undi terbanyak.

Sudah pasti perwakilan akan melihat Ahmad Zahid seorang menteri yang komited dan serius untuk menangani jenayah dan beliau relatif lebih baik dari menteri KDN sebelum ini.

Dan bagi saya rang undang-undang baru itu walaupun ia tidak sama dengan ISA, tetapi dari segi semangat dan rohnya ia mewarisi akta dekronian berkenaan kerana elemen-elemen ketidakadilan masih kelihatan.

Sesuatu yang membingungkan saya kenapa dahulu Perdana Menteri beriya memansuhkan akta ISA dan akata penahanan kediaman tetapi hari ini membenarkan pula wujud akta baru yang hampir sama. [wm.kl.9:41 am 03/10/13]